05 December 2010

misteri...

Ya,..dalam coretan yang lalu aku pernah catatkan betapa aku tidak punyai ramai kawan selain ibu.Seingat aku ,aku lebih suka bermain sendirian.Maka tidak hairanlah sehingga aku meningkat remaja aku lebih suka menyendiri.Pendiam.Kadangkala sangat kuat berfantasi.Bukan tidak ramai kawan-kawan di kem BN 19 masa itu.Tapi memang diri ini yang lebih selesa bersendiri.Itulah hakikat personaliti yang masih terbawa-bawa sehingga kini.

Suatu ketika sebelum aku menginjakkan kaki ke sekolah rendah.Berlaku satu kejadian yang misteri bagiku dan ibu.Ibu ketika itu sedang membasuh kain baju di bilik air sementara aku di luar sedang bermain-main di kawasan tanaman keluargaku.Di situ terdapat sebatang pokok betik,deretan pokok tebu yang tidak sampai enam batang rasanya dan tanaman sayuran yang lain seperti pokok cili dan terung.

Sedang asyik melayani dunia kanak-kanak,tiba-tiba aku terpandang sebuah kotak berwarna ungu kemas terselit di celah dedaun tebu.Ibu ku masih di bilik air membasuh.Aku pelik dan teruja dengan barangan yang belum pernah kulihat.Lalu kurapati deretan tebu dan mencapainya dengan penuh rasa suka.Fikirku mungkin ini mainan baru.Aku ambil dan belek seketika.Berat.Perlahan kotak itu kubuka dan dalamnya barang-barang kemas dari emas.Seingat aku seutas rantai dan loket seperti kon.Yang lain tidak berapa pasti lagi.Lalu kotak itu kuberi pada ibu.

Ternyata barang kemas itu terlalu berharga.Ibu menyimpannya.Menunggu jika ada yang mahu bertanya-tanya jika harta miliknya hilang dan tersua oleh insan lain.Lalu jika ada ,dipulangkan kembali.Aku pasti sehingga meningkat remaja tiada orang bertanya dan ibu tidak menemukan empunya barang.Dan yang tidak kupasti ke mana barang kemas itu.Kata ibu barang itu digadainya..tetapi tidak dapat ditebus lagi kerana tiada wang memandangkan kesusahan kami waktu itu.

04 December 2010

Cerita Hantu...


Entah mengapa ,dewasa ini kebanyakan siri tv menayangkan cerita-cerita berunsur seram.Mengambil kira jumlah tayangan di pawangan yang juga semakin berlambak samada terbitan tempatan dan luar negara.Sebagai seorang ayah aku sebenarnya lebih memilih merungut di benak jiwa bila melihat anak-anak lelakiku telah membiak sifat takut kepada kegelapan.Walau hanya memasang suis di kamar masing-masing.Terpaksalah si adik perempuan menemani abangnya ke pintu kamar beradu.Mereka telah menjadi penakut seawal usia muda.Dan aku tidak mahu mereka menjadi seperti aku yang dulu...

Sewaktu kecil...aku juga seorang penakut.Takut kepada malam.Tahun 1970'an ketika itu banyak menayangkan filem-filem Melayu di kaca-kaca tv kerana itu sajalah hiburan yang ada untuk kami menikmati malam.Dan hanya satu saja tajuk yang paling menggerunkan aku.Kalau bukan "Pontianak" dan rentetan siri-sirinya..apalagi?.Masih ingat jika tv menayangkan filem itu aku akan berselubung di belakang ibu dari awal sehingga tamat filem.Muzik iringan saja sudah boleh membuatkan degup jantung bertambah kencang.Membikin tidurku sering terganggu.

Sebenarnya aku pernah terserempak dengan makhluk dinamakan hantu.Namun tidak jelas wajahnya dalam jarak 10 meter.Aku hanya perasan makhluk itu berkain putih labuh.Dan berdiri di celah pangkal pohon sena.Kisah ini aku tidak ingat tahunnya namun berlaku pada awal remajaku.Pada waktu malam ketika pulang berdua dengan seorang rakan(namanya Tori) dari pekan Kroh (Pengkalan Hulu) menghala ke kem batalion 19, berbasikal.Rakanku di depan sementara aku di belakang.Aku tidak pasti samada rakanku yang berada di depan perasan ada seorang perempuan berdiri di pangkal pohon sena.
(Pokok sena kedua sebelah kiri foto:ihsan dari http://hadihazalbum.blogspot.com )

Anehnya pohon itu masih ada lagi sehingga kini sejak kali terakhir aku bercuti di Kroh pada pertengahan Disember tahun 2006 yang lalu.Ya ..pohon sena itu yang kedua selepas pohon yang pertama dari Kroh di mana terdapat patung gajah di persimpangan jalan ke Grik.Aku hanya melihat dia berdiri tanpa bergerak lalu aku terus memecut basikal mendahului rakanku tadi.Sampai di kem rakanku bertanya apa yang berlaku.Aku hanya diam.Dan tidak menceritakan apa yang terjadi.Kisah ini tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa sehingga kisah ini ditulis.

Kini aku bukan lagi seorang penakut kepada kegelapan.Dan aku tidak mahu anak-anaku juga menjadi seperti aku dulu.Tetapi siri-siri tv seperti itu (siri seram) tidak langsung membantu untuk anak-anak menjadi seorang yang berani.Bagaimanakah...?


Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...