Ya,..dalam coretan yang lalu aku pernah catatkan betapa aku tidak punyai ramai kawan selain ibu.Seingat aku ,aku lebih suka bermain sendirian.Maka tidak hairanlah sehingga aku meningkat remaja aku lebih suka menyendiri.Pendiam.Kadangkala sangat kuat berfantasi.Bukan tidak ramai kawan-kawan di kem BN 19 masa itu.Tapi memang diri ini yang lebih selesa bersendiri.Itulah hakikat personaliti yang masih terbawa-bawa sehingga kini.
Suatu ketika sebelum aku menginjakkan kaki ke sekolah rendah.Berlaku satu kejadian yang misteri bagiku dan ibu.Ibu ketika itu sedang membasuh kain baju di bilik air sementara aku di luar sedang bermain-main di kawasan tanaman keluargaku.Di situ terdapat sebatang pokok betik,deretan pokok tebu yang tidak sampai enam batang rasanya dan tanaman sayuran yang lain seperti pokok cili dan terung.
Sedang asyik melayani dunia kanak-kanak,tiba-tiba aku terpandang sebuah kotak berwarna ungu kemas terselit di celah dedaun tebu.Ibu ku masih di bilik air membasuh.Aku pelik dan teruja dengan barangan yang belum pernah kulihat.Lalu kurapati deretan tebu dan mencapainya dengan penuh rasa suka.Fikirku mungkin ini mainan baru.Aku ambil dan belek seketika.Berat.Perlahan kotak itu kubuka dan dalamnya barang-barang kemas dari emas.Seingat aku seutas rantai dan loket seperti kon.Yang lain tidak berapa pasti lagi.Lalu kotak itu kuberi pada ibu.
Ternyata barang kemas itu terlalu berharga.Ibu menyimpannya.Menunggu jika ada yang mahu bertanya-tanya jika harta miliknya hilang dan tersua oleh insan lain.Lalu jika ada ,dipulangkan kembali.Aku pasti sehingga meningkat remaja tiada orang bertanya dan ibu tidak menemukan empunya barang.Dan yang tidak kupasti ke mana barang kemas itu.Kata ibu barang itu digadainya..tetapi tidak dapat ditebus lagi kerana tiada wang memandangkan kesusahan kami waktu itu.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.