23 January 2010

1993: Monolog

Bertugas di Mahkamah Syariah sebagai orang nombor dua ketika itu aku perlu tahu serba serbi,selok belok pentadbiran.Apalagi perundangan yang bertunjangkan syariah.Dalam pentadbiran aku wajib memastikan sistem surat menyurat,sistem fail dan inventori pejabat dan automasi alatan pejabat sentiasa baik.Sistem perakaunan pula aku sendiri yang selenggara.

Aku masih ingat ketika awal-awal bertugas dulu hari Khamis adalah hari aku memasukkan kutipan hasil ke bank.Semua kena buat sendiri.Itupun bergantung kepada kutipan.Daerah terpencil macam Jelebu,N.Sembilan ini biasanya tidak ada kutipan hasil sangat.

Pada ketika itulah baru aku tahu pelanggan yang sentiasa berurusan di Mahkamah Syariah ini kebanyakkannya wanita.Isteri-isteri yang disia-siakan kehidupan mereka.Ditinggal tanpa nafkah diri.Suami bernikah lain langsung keadilan menjadi perkara pokok permasalahan.Kemampuan menampung keluarga yang sudah ke takat cukup makan dibebani pula dengan keinginan nafsu beristeri lain.Mengikut sunnah dari fahaman yang menyimpang.

Inilah realiti manusia yang celaru yang sempat aku temui waktu bertugas di sana.Mereka yang datang menemuiku,telah banyak menitiskan airmata.Anak-anak yang terbiar tidak tahu apa tujuan ke pejabatku.Yang mereka tahu hanya membalas senyumku.Mata-mata yang jernih itu tidak sejernih mata ibu mereka dengan airmata yang menyeka.Atau telah berkali melihat mata wanita begitu lantaran keterbiasaan menjadikan mereka tidak mahu turut merasai terikut kepedihan hati ibu.

Aku cuba selami dengan sedikit rasa simpati.Tidak mahu terikut bimbang kerana sebagai kakitangan mahkamah aku perlu menampilkan kewarasan dan tidak terlalu bergantung kepada cerita yang berat sebelah.Walaupun bukti nyata jelas di hadapanku.

Itu adalah antara kisah yang terkesan di hati.Waktu tersandar selepas menelan cerita pahit si isteri-isteri yang ditinggalkan aku selalu menjadi ingat.Cerita ini boleh jadi bakal menimpaku jika aku juga hanyut melayan bisikan syaitan.Wajah isteri kadang-kadang menjadi cerminan di mana aku berpijak.Batas mana aku berada.Jalan mana kakiku langkah.Lelaki itu yang kubenci kerana mengabaikan hidup keluarganya adalah diriku juga.Gelaran itu yang kubawa sampai mati.

Mendepani kehidupan manusia lain banyak mematangkan tindakan dan emosi.Di sini ,aku menjadi penasihat dan pemudahcara untuk jiwa-jiwa yang kehampaan.Jalan-jalan penyelesaian berpandukan agama menjadi tunjang rujukan.Jika aku sendiri tidak berkemampuan pastinya permasalahan mereka aku rujukan kepada ustaz ustazah yang lebih mahir dariku yang setahun jagung ini.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...