Bergelar abah mungkin bukan suatu gelaran yang luar biasa.Setelah mempunyai tanggungjawab berkeluarga panggilan seperti itu menjadi lumrah.Sewaktu kecil aku mengenal seorang lelaki yang punya hubungan keluarga denganku,pelindung dan pencari rezeki dalam rumah kami.Tinggi sederhana dengan wajah yang menyimpan tegas.Seringkali wajah itu mengecut perutku.Takut.
Itulah ayahku yang biasa kupanggil "abah" memang tegas dan sedikit garang.Seingat aku kali terakhir bergurau dengan bah ketika aku berusia 4 atau 5 tahun.Selebihnya untuk tahun yang mendatang aku dan abah seperti orang asing.Bukan kerana berlainan arah dan berseteru rasa tapi aku menjadi tidak biasa berbual mesra dengan abah sendiri.
Puncanya mudah saja,abah akan masuk hutan kerana operasi memburu pengganas Komunis antara awal 1970 hingga 1980.Tahun di mana Malaysia ketika itu masih bergelut menumpaskan pengganas yang berjuang secara gerila.Kadang-kadang abah akan berada jauh di mata kami adik-beradik sebulan dua.Jarak masa waktu itu kami membesar dan mengharap kasih dan perhatian seorang ayah.Apabila abah habis operasi di hutan dan pulang ke pangkuan,proses mengenal kami juga memakan masa.Tambahan sikap abah juga yang pendiam macam aku.Menambahkan lagi kerenggangan antara aku dan abah.
Abah yang ku tahu tidak pandai menulis.Setakat kenal huruf dan angka saja.Dengan pengetahuannya itu pada peringkat kanak-kanak aku diajarnya mengenal huruf.Alhamdulillah.
Memang abah seorang yang bercita-cita punya anak yang pandai dan bijak sama seperti impian abah orang lain juga.Dalam tempoh aku tidak punya ramai adik abah lebih memberi perhatian kepadaku.Apa saja yang kupinta kepada ibu pasti disampaikan.Abah hanya mengotakan.
Seingat aku kerap juga aku membanggakan abah.Dilantik sebagai Ketua Kelas,mendapat No.1 atau 2 dalam peperiksaan tahunan.Pujian dari guru mengenaiku kepada abah.Tapi itu cerita ketika aku di sekolah rendah.Setelah memasuki peringkat menengah aku tidak lagi rapat dengan abah.Maklumlah adik-beradik seramai tujuh orang.Hanya sekali-sekala saja aku berbual dengan abah.
Paling membanggakan abah apabila rakan-rakan sekerja dan bosnya mengucapkan tahniah kerana kejayaanku melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara pada tahun 1983 lalu.Pada ketika itu aku adalah contoh kepada adik-adikku.Abah tahu bahawa aku akan berjaya juga.
Aku juga pernah memberitahu ibu bahawa aku akan memeluk agama Islam ketika aku di tingkatan 4.Waktu itu abah mendapat tahu dari kawanku lalu abah marah dan mengingatkan aku supaya belajar menjadi orang pandai dan berguna dulu baru cita-cita lain dikejar.Abah tahu bahawa satu hari nanti aku akan berkata begitu sebabnya abah juga.Ketika aku masih kanak-kanak,abah akan belikan sepasang baju Melayu lengkap bersampin dan memakaikannya supaya aku dapat berhari raya bersama-sama rakan Melayuku.
Tapi abah tidak pernah menghalang.Abah tahu satu hari nanti pasti aku akan mengejar impian kecilku itu.Masih kuingat abah tidak terkejut ketika aku pulang dari Kuala Pilah selepas hilang dua hari tanpa berita.Walau pun cuba diselindung.Abah tahu aku telah Islam.Abah tidak mahu mengikut jejakku kerana sudah terlambat katanya.
Kini abah telah meninggal dunia.Walau pun kedudukannya di akhirat nanti sudah pasti tapi aku sentiasa berdoa agar abah juga mendapat keampunan dari Allah.Aku pernah tahu bahawa wan (nenek) ibu kepada abah juga pernah berkahwin dengan pemuda Melayu.Sejauh mana pegangan agama wan tidaklah ku pasti.Kata orang-orang tua di Kg.Jerang,Simpang Durian,Jelebu,N.Sembilan.Kubur wan bersebelah dengan kubur orang Islam.