Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia menghulurkan sebuah buku agama bertajuk Penawar Bagi Hati bersama satu kaset ceramah—tajuknya aku sudah lupa—untuk dipinjamkan. Dengan nada malu-malu, dia bertanya, “Nak baca buku ni tak?”
Aku
terpaku. Dia memberi tanpa diminta. Untuk tidak mengecilkan hatinya, aku terima
juga, sambil berjanji akan memulangkannya dalam beberapa hari. Katanya buku itu
bagus—walhal aku sudah menghabiskannya berkali-kali. Namun untuk tidak
menghampakannya, apatah lagi di hadapan rakan sekelas, aku sambut sahaja
pelawaannya.
Dari
cara dia berbual, aku dapat merasakan seolah-olah ada sesuatu yang ingin
diluahkan, tetapi tidak kesampaian kerana ramainya rakan sekelas ketika itu.
Aku nampak dia tersenyum apabila aku menerima buku dan kaset itu dengan baik.
(Dalam hati aku berkata, “Ada peluang ke ni?”). Aku tahu F ingin mendekatiku,
mungkin hanya sebagai rakan sekelas. Lagipun aku ini pendiam, berat mulut—mudah
sangat disalah tafsir. Dan ketika itu aku memang tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa.
Malu masih menebal.
Malam
itu di asrama, aku mencabar diri. Aku bertekad: bila memulangkan buku itu
nanti, aku akan selitkan sepucuk surat tanda perkenalan. Namun setiap kali ke
kelas, perasaanku menjadi tidak keruan bila memandang ke barisan paling belakang.
Ada sesuatu yang mengganggu. Aku tidak mampu menghalang ingatan daripada
kembali kepada gadis itu. Sedangkan layanannya padaku biasa sahaja. Tetapi rasa
suka memang sukar ditafsir. Surat yang kononnya ingin kuselitkan itu akhirnya
tidak pernah tertulis—kerana takut, kerana malu.
Dalam
masa yang sama, aku dan F turut menyertai usrah anjuran sahabatku,
R—kenalan sejak zaman Al-Arqam Kuala Pilah—di Universiti Malaya. Jika
ada pertemuan, aku akan memaklumkan kepada F. Kami bertemu di surau Maktab
Perguruan Islam Lembah Pantai, sebelum ia dipindahkan ke Bangi. Di situ kami mendengar kuliah, bermuhasabah, bertazkirah. Kadangkala aku dapat berbual dengan F di sela-sela
program, tetapi hanya tentang amalan Islam dan perkembangan jemaah. F pula
tidak banyak bercakap; mungkin segan kerana kehadiran rakanku.
Sampailah
timbul cadangan untuk mengadakan lawatan ke Darul Al-Arqam di Sungai Penchala.
Aku tidak ingat siapa punya idea, tetapi aku dipertanggungjawabkan menyelia
rombongan itu. Aku maklumkan rakan-rakan lelaki di hostel, manakala dalam
kalangan siswi, siapakah lagi yang aku percayai kalau bukan F. Pada mulanya aku
ragu-ragu—bimbang dianggap membawa pengaruh Al-Arqam ke dalam institusi pendidikan yayasan, sedangkan ketika itu
kumpulan tersebut sudah mula mendapat perhatian kerajaan. Namun semangat rakan-rakan
yang ingin melihat sendiri suasana kehidupan jemaah itu membuat aku teruskan
juga. Lagipun tujuan kami hanya untuk meninjau, termasuk melihat sendiri
kumpulan nasyid Nada Murni (kini Rabbani).
Sehari
sebelum lawatan, aku berpesan kepada dua pelajar perempuan yang baru pulang
dari kedai bawah flat Kerinchi PKNS bahawa aku ingin bertemu F di koridor asrama lelaki untuk memaklumkan atur cara perjalanan. Setelah lama menunggu, aku
nampak F turun. Dia memakai tudung hitam.
Aku
cuba menahan diri daripada memandang tepat ke wajahnya, tetapi terasa pula
bersalah jika berbincang tanpa memandang langsung. Dia berdiri agak jauh, di
atas anak tangga, tapi cukup dekat untuk membuat degup jantungku berubah
rentak. Aku menerangkan perancanganku dan berharap F dapat menguruskan pelajar
perempuan yang mahu turut serta, sementara aku mengendalikan yang lelaki.
Waktu
itu, entah mengapa, aku merasakan kelainan yang begitu kuat dalam perasaan ini.
Dari jarak kira-kira lapan meter itu pun, wajahnya kelihatan lain—lebih lembut,
lebih manis. Sejak hari itu, aku mula takut. Takut pada diri sendiri, pada
janjiku untuk fokus mengejar ilmu. Sedangkan wajah F semakin kerap terbayang.
Memang
aku akui, F manis dipandang bila mengenakan tudung hitam. Raut wajahnya kecil,
comel; bibir nipis, mata redup, orangnya berkulit cerah.
Kadang-kadang dia berkaca mata. Biasa sahaja pada pandangan umum, tetapi pada
mataku—entah kenapa—dia membuatkan hati berdebar. Namun apa yang paling menarik
ialah minatnya terhadap perbincangan agama, serta kecenderungannya pada jemaah
Al-Arqam—sebahagian daripada hidupku suatu ketika dahulu. Akulah tempat dia merujuk dan bertanya itu dan ini tentang Al-Arqam.
Akhirnya
aku mengaku kalah. Perasaan suka itu tidak lagi mampu kutepis.