04 October 2024

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya merencatkan kehendak. Tiap-tiap petang pasti ada kerja pejabat yang dibawa pulang untuk diselesaikan di rumah pula. Bebanan tugasan sampingan di luar tugas hakiki juga menjadi penyebab. Pendek kata, segalanya telah melunturkan minat sedikit demi sedikit. Susah hendak mencari masa saat ini.

Tetapi dalam hati, tetap ada keinginan. Walaupun sibuk, ada masa-masa sunyi yang membuatkan fikiran kembali menerawang, mengimbau saat-saat menulis. Rindu yang bertandang seolah-olah memberi isyarat bahawa menulis adalah sebahagian dari diri, yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Kadang-kadang, terfikir untuk mencuri masa sekejap, hanya untuk mencoretkan satu dua baris idea yang melintas.

Mungkin, ini bukan soal masa. Mungkin ini tentang keutamaan dan usaha. Sebab jika minat itu benar-benar kuat, pasti akan ada ruang yang boleh dicipta walaupun dalam kesibukan. Betul, hidup sering kali menuntut perhatian kita pada banyak perkara, tetapi tidak mustahil untuk memberi sedikit ruang kepada apa yang kita cintai. Mungkin, menulis semula walaupun sedikit, boleh menyuburkan semula minat yang pudar ini.

03 January 2024

Kembali menulis.

 Menulis kembali. Pada usia 58 tahun, kenangan-kenangan lalu terasa semakin kabur, seakan-akan ditelan masa. Minat menulis masih ada, namun tidak lagi membara seperti dulu. Semangat yang pernah mengalir deras kini perlahan-lahan surut. Membaca satu atau dua halaman pun sudah cukup membuatkan mata ini layu, mengajak diri beristirahat. Mungkin faktor usia, aku fikir.

Aku mula merasakan perubahan ini setelah bertukar tempat kerja. Dari daerah yang lebih tenang dan tidak begitu menekan, aku kini berada di pejabat kerajaan yang menuntut lebih banyak masa dan tenaga. Letih itu sudah menjadi lumrah. Selalu pulang lewat, dan sering juga membawa tugasan pejabat ke rumah. Hari-hari Sabtu dan Ahad yang sepatutnya untuk berehat pun kerap terkorban demi menyelesaikan kerja-kerja yang tidak pernah habis.

Sejak bertukar pejabat, hasrat untuk menulis seakan mati. Aku buka blog sekejap, membaca satu dua tulisan, dan kemudian menutupnya kembali. Satu posting sudah cukup. Tidak lebih dari itu.



Hari ini, aku nekad untuk kembali menulis dan membaca, menghidupkan semula semangat yang hampir pudar. Selepas subuh, aku memulakan hari dengan empat buah buku di tangan. Seperti biasa, aku mengaji dua muka surat setiap selepas subuh, diikuti bacaan tafsir Ibnu Kathir untuk Surah Al-Kahfi, juga dua muka surat. Kemudian, aku menyelam ke dalam buku "Muhammad" karya Martin Lings, menyentuh hati dengan kisah agung junjungan kita. 

Sebagai penutup sesi pagi, aku menyusuri catatan sejarah dalam buku "Tanpa Ampun", terjemahan dari "The Jungle is Neutral", diari seorang askar British bernama F. Spencer Chapman. Dalam setiap halaman, pengalaman Chapman semasa era pendudukan Jepun di Malaya begitu hidup, mengisahkan perjuangan yang penuh getir di tengah belantara yang tidak memihak pada sesiapa. Membaca buku-buku ini membuatkan aku terasa lebih terhubung dengan dunia ilmu dan sejarah, seolah-olah menyusuri perjalanan masa yang lampau.


Aku berazam untuk menulis tentang perjalanan hidayahku, mengimbau kembali setiap langkah yang telah membawaku ke arah cahaya. Pengalaman rohani ini bermula sejak remaja, ketika aku, seorang anak orang asli yang tidak memiliki pegangan agama, mula tertarik dengan pendidikan Islam pada usia tujuh atau lapan tahun. Setiap detik itu begitu bermakna, dan aku mahu mengabadikannya dalam bentuk tulisan.

Aku bercadang untuk mengumpulkan catatan dalam blog ini dan menjadikannya sebuah buku. Buku yang bakal berkongsi tentang keindahan perjalanan mencari hidayah, menyelami setiap pengalaman yang begitu berharga. Alhamdulillah, rakan-rakan juga memberikan dorongan kerana mereka berminat dengan kisah-kisah seperti ini. 

Insya Allah, aku akan menulis.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...