04 May 2013

Coretan dari seorang kenalan.



Seingat aku, selesai majlis berkhatan awal tahun 1986 dan beberapa bulan selepas itu ada ura-ura untuk menghantar aku ke sekolah tajaan Al-Arqam di Melaka.Berita itu telah sampai juga ke telingaku kerana niat jemaah Al-Arqam itu telah lama dibincangkan memandangkan aku saudara baru dan sebagai saudara baru keperluan memantapkan pengetahuan Islam menjadi wajib.Malahan jemaah Al-Arqam Kuala Pilah berasa  itu satu tanggungjawab mereka untuk menerapkan pengetahuan agama Islam kepadaku.

Pertengahan tahun itu juga aku dihantar memasuki sekolah tajaan Al-Arqam di Alai, Melaka.Kutinggalkan kenangan jemaah Al-Arqam Kuala Pilah bersama motor Yamaha Y88ku.Kepada mereka kuamanahkan  menjaga satu-satunya hartaku itu.Aku ke Alai, Melaka memasuki Sekolah Rendah Al-Arqam yang ala-ala pondok itu.Pelajar di sana tidaklah ramai seperti di Sungai Penchala, di Selangor namun suasana pembelajaran membuat aku selesa dan bertekad untuk menuntut ilmu agama sebaik mungkin.

Sebelum kepergianku ke sana aku sempat berbalas surat dengan M rakan pena dari Pantai Timur.Dan kami bersetuju untuk bertukar-tukar foto selepas itu.Tidak lama kemudian M mengirimkan sekeping fotonya yang agak kabur.Bertudung hitam.Tetapi belum sempat aku membalas surat beserta fotonya itu aku terima sepucuk lagi surat darinya.

Apabila surat yang baru diterima kubuka, aku agak celaru kerana foto yang baru ini lebih jelas wajah seorang gadis bertudung pink dan berkulit cerah.Berbanding foto sebelumnya yang agak kabur.M menjelaskan kepadaku itulah sebenar dirinya.Sambil membariskan ayat-ayat kemaafan kerana agak gementar mengirimkan foto dirinya kepada seseorang apatah lagi kepada lelaki.

Foto itu tidak kusimpan lama.Aku memulangkan kembali kepada M.Niatku hanya ingin mengenali wajahnya sahaja.Aku tidak kisah dan marah kerana faham gementar hatinya.Seminggu kemudian M membalas dan mempersoalkan mengapa aku kembalikan fotonya itu.Dengan panjang lebar aku terangkan bahawa aku tidak biasa menyimpan foto perempuan dan sementelah  lagi aku akan belajar ke sekolah pondok jadi tidak pantas bagi aku menyimpan foto itu.M faham.

M lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 1985 dan berjaya memasuki Tingkatan 6 bawah yang bakal menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia dua tahun akan datang.Aku ucapkan tahniah dan  dia mengaku tidak berapa puas hati dengan keputusan SPMnya.M menceritakan bahawa dahulu dia adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran tetapi tiba-tiba sahaja mendapat sakit misteri sehinggakan terpaksa tinggal di rumah berbulan-bulan lamanya untuk berubat.

Setelah aku meneruskan pengajian di Sekolah Rendah Islam Al-Arqam Alai, Melaka semua surat menyurat pun turut terhenti.Kami tidak lagi berutus surat.Tentunya aku ketika itu berasa sedikit rindu kerana perkenalan itu telah menjadi selesa dan mesra.Namun keutamaanku ketika itu adalah ilmu.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...